Israk Mikraj

July 21, 2009 at 12:46 pm 2 comments

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

(Surah al-Israa: ayat 1)

Rejab 1429 telah pun melabuhkan tirai. Sya’ban kini dan Ramadhan menanti. Semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat itu. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama.

Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah S.A.W. kerana ia ada dinyatakan oleh al-Quran al-Karim dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk Mikraj yang terjadi itu nampak mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia namun selaku umat Islam maka wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan dimikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.
PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

PENUTUP

Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ini. InsyaAllah.

‘Memberi dan Berbakti’

-ILuvislam-

Entry filed under: sirah.

Mansuhkan ISA… The Best S.Harakah In K.A.D

2 Comments Add your own

  • 1. Khairul  |  July 26, 2009 at 5:27 pm

    Assalamualaikum kpd penulis, saya minta izin utk copy gambar dari artikel ini..terima kasih

    Reply
  • 2. syamim  |  July 27, 2010 at 1:15 pm

    BOLEH SAYA COPY CERITA NI SEBAB CERITA NI SANGAT MENARIK.

    Reply

Leave a comment

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


SeLaMAt MenePuh UJIan

“Islam For Peace”

Ingatlah wahai sahabatku Bahawa hidup di dunia ini hanyalah satu permainan saja.JADI KEJAR 5 SEBELUM DATANG 5

DETIK MASA

July 2009
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

MUTIARA KATA.

.......HaRi Ini Yg BerlaLu MeLahiRkaN SeoRanG inSan Yg Tak PunYa ImpiAN dan MiNpi HiduP .SeGalA Apa Yg Ada Cuma PikIRan UtK KemBalI KepaDa TuHan,Dan MenaHan HAraPan UntUk BerTemU Dan MenaTap WajAh DIA pada HaRi EsoK.......

PILIHAN

Flickr Photos

RSS NASYID FM

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS IKIM.FM

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS MALAYSIA ONLINE

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

ARTIKEL TIME

Nasyid.fm

Blog Stats

  • 22,505 lihat..

WASIAT IMAM HASAN AL-BANNA

1.Segera menunaikan solat walau dalam keadaan mana sekalipun 2.bacalah Al-Quran,Tatapilah Buku, pergilah mendegar perkara yang baik atau amalkan zikrullah. (jangan buang masa) 3.Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab 4.Jangan banyak bertengkar 5.Jangan banyak ketawa 6.Jangau bergurau 7.Jangan bercakap lebih nyaring drp kadar yang dikehendaki oleh para pendengar 8.Jauhilah drp mengumpat 9.Berkenal-kenalah drp tiap2 saudara Ikhwan Muslimin 10.Kewajipan kita lebih byk drp masa yg kita ada